28 November 2016

Penduduk Islam China digesa kekal sosialisme

ISNIN, 28 NOVEMBER 2016 @ 5:02 PM
CHINA meminta penduduk Islam di negara itu menentang ekstremisme agama dan berpegang kepada sosialisme dengan ciri negara itu. - Foto hiasan/Reuters 


BEIJING: China meminta penduduk Islam di negara itu menentang ekstremisme agama dan berpegang kepada sosialisme dengan ciri negara itu. Pada masa sama republik itu mengetatkan kawalan keselamatan di wilayah Xinjiang yang majoriti penduduknya beragama Islam. Agensi berita Xinhua melaporkan Ketua Pentadbiran Negara bagi Hal Ehwal Agama, Wang Zuo'an, sebagai berkata perkembangan Islam di China perlu berpegang kepada sosialisme dengan ciri China.

"Walaupun menghormati kepercayaan dan adat Islam, campur tangan agama dalam bidang politik, kehakiman dan pendidikan tidak boleh diterima," katanya. Wang juga berkata, negara itu amat menggalakkan supaya masjid baharu menonjolkan ciri China dan kebangsaan, bukan meniru gaya pembinaan luar.

Katanya, beliau menghargai hasil usaha Persatuan Islam China (IAC) sejak lima tahun lalu. "IAC perlu melahirkan ulama dan menjalin hubungan secara aktif dengan negara asing," katanya. Ulasannya itu dibuat ketika China mengetatkan peraturan bagi majlis keagamaan dan mengarahkan penduduk di Xinjiang untuk menyerahkan pasport dalam usaha mengehadkan cubaan mereka berhijrah ke luar negara.

Mereka diarah menyerahkan pasport kepada balai polis tempatan untuk tujuan pemeriksaan dan pengurusan. "Mereka yang enggan berbuat demikian bertanggungjawab ke atas diri sendiri jika dilarang ke luar negara," menurut arahan kerajaan tempatan yang dikeluarkan minggu lalu.

Xinjiang juga sudah menubuhkan jawatankuasa agama dan komuniti penduduk untuk menguruskan amalan agama sejak September lalu, meminta penduduk melaporkan aktiviti agama atau majlis dihadiri golongan agama, termasuk berkhatan, perkahwinan dan pengebumian. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217717

27 November 2016

Penduduk Islam Xinjiang diarah serah pasport




GAMBAR fail, penduduk Islam Uighur di luar masjid di Urumqi.
Urumqi: Pihak berkuasa China mengarahkan penduduk Islam di wilayah Xinjiang menyerahkan pasport masing-masing.

Dalam penjelasannya menerusi akhbar Global Times, pihak berkuasa berkata, langkah itu bertujuan untuk menjaga ketenteraman.

Mereka yang ingin menggunakan pasport itu semula perlu memohonnya di balai polis.

Penduduk yang enggan menyerahkannya kemungkinan tidak akan dibenarkan meninggalkan wilayah itu.

Majoriti penduduk Xinjiang beragama Islam dari etnik Uighur.

Untuk memperoleh pasport di wilayah berkenaan semakin sukar sejak 2015 berikutan tindakan kerajaan China mengekang penduduk Islam ke luar negara

Mereka diperlukan menyediakan pelbagai dokumen dan dilaporkan perlu menunggu sehingga lima tahun sebelum boleh mendapatkan pasport.

William Nee, penyelidik China di Amnesty International berkata: “Pihak berkuasa China meningkatkan lagi kawalan terhadap kehidupan penduduk Islam Uighur. Kini, hampir semua aspek kehidupan mereka sudah dikawal. Ini bukan untuk mengawal penjenayah ke luar negara bagi menjalani latihan pengganas seperti yang didakwa kerajaan. Ia bertujuan memastikan masalah penindasan etnik itu tidak tersebar. Itu yang dikhuatirkan kerajaan sebenarnya.”

Bulan lalu, kerajaan China mengumumkan dasar baru pelajaran yang melarang kanak-kanak digalakkan melakukan aktiviti keagamaan.

Arahan sebelum ini mengharamkan lelaki menyimpan janggut sementara wanita dilarang menutup aurat, khususnya bahagian kepala. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 9:45 AM

14 October 2016

Tiada lagi waktu solat



GAMBAR hiasan, sekumpulan lelaki Muslim di Xinjiang.



Agensi
Beijing: China mengharamkan ibu bapa dan penjaga di Xinjiang, wilayah paling ramai umat Islam di negara itu daripada menggalak anak mereka melakukan aktiviti keagamaan.

Akhbar Xinjiang Daily melaporkan, kerajaan menguatkuasakan peraturan pelajaran baru bermula 1 November depan, bermakna mereka yang menggalak atau memaksa anak mereka melakukan aktiviti keagamaan seperti solat, termasuk di sekolah, akan dilaporkan kepada polis.

Ia lanjutan daripada arahan mengharamkan lelaki Islam di wilayah itu berjanggut dan wanita menutup rambut.

China mendakwa hak asasi, undang-undang dan budaya Muslim di Xinjiang dilindungi sepenuhnya.

Bagaimanapun, sebahagian besar etnik Uighur yang mewakili penduduk Islam wilayah itu berkata, mereka semakin ditindas oleh pihak berkuasa China, termasuk dikenakan sekatan ekonomi.

Pada April 2014, Global Times melaporkan, pegawai di Xinjiang menawarkan hadiah sehingga 50,000 yuan (RM31,000) kepada mereka yang membuat laporan kepada polis mengenai kegiatan pemisah Islam, termasuk memelihara janggut.

Pada 2015 pula, Radio Free Asia melaporkan, imam di Kashgar, sebuah daerah di Xinjiang, dipaksa memberitahu anak mereka, solat itu berbahaya untuk jiwa dan mengisytiharkan, rezeki datang daripada Parti Komunis China, bukan daripada Allah.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:03 AM

12 October 2016

Lelaki 71 tahun kahwini wanita idamannya berusia 114 tahun

RABU, 12 OKTOBER 2016 @ 2:41 PM

 Pasangan itu pada hari perkahwinan mereka di rumah kebajikan. - Foto Asiawire/http://www.mirror.co.uk/

BEIJING: Seorang lelaki berusia 71 tahun tidak mengendahkan jurang usia hampir lima dekad apabila berulang kali melamar wanita dicintai sehingga akhirnya menjadi isterinya. Beliau mengahwini wanita berusia 114 tahun itu, 43 tahun lebih tua daripadanya selepas bertemu di rumah kebajikan. Menurut lelaki berkenaan, beliau berusaha memikat wanita itu setahun sebelum akhirnya berkahwin. Pada mulanya, beliau terpesona kepada keenakan masakan wanita itu dan kemudian menyedari wanita itu juga seorang yang baik, katanya. Wanita itu berulang kali menolak lamaran beliau, tetapi lelaki berkenaan tidak berputus asa. Akhirnya wanita berkenaan sudi mengahwininya dan menetapkan tarikh untuk acara bersejarah itu. Majlis perkahwinan pasangan warga emas itu diadakan di mukim Bachu di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/201431

8 June 2016

Penduduk Xinjiang perlu serah DNA jika mahu ke luar negara

Penduduk Islam China terutamanya yang tinggal di wilayah Xinjiang,

Penduduk Islam China terutamanya yang tinggal di wilayah Xinjiang, sering berdepan provokasi kerajaan. AFP
BEIJING 7 Jun - Penduduk Xinjiang yang kebanyakannya beragama Islam diwajibkan menyediakan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) sekiranya mereka mahu memohon pasport ke luar negara bermula awal bulan ini.
Menurut media tempatan, Yili Daily, bermula 1 Jun, penduduk wilayah autonomi Yili Kazakh, di timur laut jauh China, mesti menyerahkan sampel DNA kepada polis, cap jari, pengecaman suara dan imej tiga dimensi sekiranya mereka mahu memohon dokumen perjalanan.
Kebanyakan etnik Islam Uighur di Xinjiang mengadu mereka menjadi mangsa diskriminasi termasuk dinafikan permohonan pasport serta kawalan terhadap kebudayaan dan agama mereka. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-xinjiang-perlu-serah-dna-jika-mahu-ke-luar-negara-1.339749#sthash.b1vTV21r.dpuf

19 May 2016

Suspek serangan menangis

Suspek serangan menangis

18 MEI 2016
Karadag (depan) dibawa ke mahkamah tentera di Bangkok, Februari lalu, selepas didakwa terlibat dalam serangan berdarah di Bangkok. - Foto AFP
BANGKOK - THAILAND. Salah seorang daripada dua etnik Uighur yang dituduh terlibat dalam pengeboman maut di sebuah kuil di Bangkok, Ogos tahun lalu, dilaporkan menangis ketika menuju ke mahkamah tentera di negara itu.
"Saya bukan haiwan. Saya manusia. Saya manusia," menurut Adem Karadag kepada orang ramai yang menanti di luar mahkamah, semalam.
Karadag dan seorang lagi suspek, Yusufu Mieraili, yang berada di mahkamah untuk semakan saksi telah menafikan semua tuduhan terhadap mereka.
"Kami tidak bersalah. Tolonglah kami. Di mana hak asasi manusia?," menurut Mieraili ketika keluar dari sebuah kenderaan polis di luar mahkamah.
Penganalisis, diplomat dan beberapa pegawai mengesyaki serangan mempunyai kaitan dengan minoriti Uighur di barat China yang berang dengan tindakan junta Thailand mengusir lebih 100 masyarakat etnik berkenaan ke Beijing, sebulan sebelum insiden pengeboman berlaku.
Bagaimanapun, polis Thailand berkata, pelaku merupakan anggota rangkaian yang memperdagangkan Uighur Islam dan serangan dilancarkan kerana marah dengan tindakan keras kerajaan dalam membanteras aktiviti pemerdangan manusia. - Reuters

18 May 2016

Suspek Pengeboman Thailand Beritahu Media 'Saya Bukan Binatang'


Diterbitkan: Selasa, 17 Mei 2016 8:59 PM

BANGKOK: Salah seorang daripada dua etnik Uighur dari China yang dituduh terlibat dalam pengeboman maut di Thailand tahun lepas pada Selasa, mengadu tentang layanan buruk terhadapnya ketika muncul di mahkamah.

Seramai 20 orang terbunuh dan lebih 120 cedera dalam pengeboman pada 17 Ogos di Makam Erawan Bangkok yang merupakan kawasan tumpuan pelancong. Lima yang terkorban adalah dari China dan dua dari Hong Kong.

Tidak ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.

Polis Thai menolak 'keganasan' sebagai motif dan berkata pelakunya adalah ahli-ahli yang mempunyai kaitan dengan etnik Uighur.

Polis telah menahan dua suspek, Yusufu Mieraili dan Adem Karadag, kedua-dua mereka adalah etnik Uighur, dan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap 15 yang lain.

Karadag dan Mieraili telah menafikan semua tuduhan terhadap mereka.

"Saya bukan binatang," kata Karadag yang tidak berkasut kepada pemberita, ketika dua pengawal membawanya ke mahkamah tentera.

"Saya manusia, saya manusia."

Di dalam mahkamah, Karadag yang meraung telah mengangkat bajunya, menunjukkan kesan lebam dan berkata menerusi penterjemahnya bahawa dia telah dipukul sebanyak dua kali bulan ini ketika dalam tahanan, kata seorang saksi Reuters.

Hakim itu berkata beliau akan menyiasat dan akan mempertimbangkan permohonan peguam Karadag untuk perpindahan.

Peguam Karadag, Schoochart Kanpai, berkata sebelum ini anak guamnya telah disiksa untuk mengaku bersalah.

Sementara Mieraili pula merayu bantuan.

"Kami tidak bersalah, tolonglah kami, tolonglah kami, di mana hak-hak asasi manusia?" kata Mieraili sebaik sahaja muncul dari sebuah van penjara di luar mahkamah.

Para peguam berkata, lebih 250 saksi mungkin akan dipanggil untuk pendakwaan dan pembelaan.

Schoochart berkata beliau berharap perbicaraan akan berakhir pada akhir tahun 2016, tetapi ia boleh berlarutan setahun lebih lama.

10 April 2016

Dua Militan Uighur Ditahan Di Indonesia Selepas Kunjungi Malaysia - Polis Thailand


Diterbitkan: Ahad, 10 April 2016 11:04 AM

BANGKOK: Dua lelaki berketurunan Uighur disyaki anggota kumpulan militan yang berkunjung ke Phuket dan kemudian memasuki Malaysia dikatakan telah ditahan di Indonesia.
Polis Thailand, Leftenan Jeneral Suchart Teerasawat memberitahu Reuters, bagaimanapun maklumat terperinci berkaitan penahanan kedua-dua lelaki terlibat belum diperoleh.
"Kami masih menyiasat berkaitan pergerakan mereka, siapa yang mereka temui. Selepas bermalam di pusat pelancongan di sini, mereka ke Malaysia dan Indonesia.
"Difahamkan kedua-duanya telah ditahan di Indonesia," katanya.
Susulan indiden ini, pihak keselamatan Thailand kini meningkatkan kawalan di semua pintu masuk ke negara itu.
Serangan militan di tengah bandaraya Jakarta pada Januari yang mengorbankan lapan nyawa termasuk empat penyerang adalah isyarat untuk Thailand mengetatkan kawalan.
Selain itu, itu katanya, pihak berkuasa juga sedang menyiasat beberapa etnik Chechen yang dilaporkan  berada di sekitar Phuket.
Pada Jumaat, akhbar tempatan 'Khaosod' membocorkan memo perisikan yang mendakwa dua lelaki Uighur dan dua rakyat Rusia berketurunan Chechen merancang melakukan serangan ganas di Thailand.
Memo itu mengenal pasti dua lelaki Uighur berkenaan sebagai 'Ali Yalcin Egin' dan 'Hidayet Dorsun', yang tiba di Phuket dari satu lokasi tidak dikenal pasti pada 23 Mac lepas.
Dua lelaki itu 'mungkin melakukan serangan terhadap kepentingan China di Asia Tenggara," kata memo berkenan, manakala dua suspek berketurunan Chechen itu pula dikatakan merancang untuk menyerang kepentingan Rusia di Thailand.
Memo perisikan itu mengandungi amaran terperinci tentang kemungkinan berlaku serangan pengganas di destinasi pelancongan popular Koh Samui dan Phuket.
Dua tempat itu dijangka sesak dengan pelancong asing termasuk dari China dan Rusia selain rakyat tempatan bersempena Festival Songkran selama empat hari, yang bermula secara rasmi pada 12 April ini.
Disember lepas, agensi perisikan Rusia memberi amaran kepada rakan sejawatannya dari Thailand bahawa sehingga 10 anggota kumpulan militan Daesh warga Syria telah memasuki Thailand untuk menyerang kepentingan Rusia.