BANGKOK - THAILAND. Salah seorang daripada dua etnik Uighur yang dituduh terlibat dalam pengeboman maut di sebuah kuil di Bangkok, Ogos tahun lalu, dilaporkan menangis ketika menuju ke mahkamah tentera di negara itu.
"Saya bukan haiwan. Saya manusia. Saya manusia," menurut Adem Karadag kepada orang ramai yang menanti di luar mahkamah, semalam.
Karadag dan seorang lagi suspek, Yusufu Mieraili, yang berada di mahkamah untuk semakan saksi telah menafikan semua tuduhan terhadap mereka.
"Kami tidak bersalah. Tolonglah kami. Di mana hak asasi manusia?," menurut Mieraili ketika keluar dari sebuah kenderaan polis di luar mahkamah.
Penganalisis, diplomat dan beberapa pegawai mengesyaki serangan mempunyai kaitan dengan minoriti Uighur di barat China yang berang dengan tindakan junta Thailand mengusir lebih 100 masyarakat etnik berkenaan ke Beijing, sebulan sebelum insiden pengeboman berlaku.
Bagaimanapun, polis Thailand berkata, pelaku merupakan anggota rangkaian yang memperdagangkan Uighur Islam dan serangan dilancarkan kerana marah dengan tindakan keras kerajaan dalam membanteras aktiviti pemerdangan manusia. - Reuters