28 November 2016

Penduduk Islam China digesa kekal sosialisme

ISNIN, 28 NOVEMBER 2016 @ 5:02 PM
CHINA meminta penduduk Islam di negara itu menentang ekstremisme agama dan berpegang kepada sosialisme dengan ciri negara itu. - Foto hiasan/Reuters 


BEIJING: China meminta penduduk Islam di negara itu menentang ekstremisme agama dan berpegang kepada sosialisme dengan ciri negara itu. Pada masa sama republik itu mengetatkan kawalan keselamatan di wilayah Xinjiang yang majoriti penduduknya beragama Islam. Agensi berita Xinhua melaporkan Ketua Pentadbiran Negara bagi Hal Ehwal Agama, Wang Zuo'an, sebagai berkata perkembangan Islam di China perlu berpegang kepada sosialisme dengan ciri China.

"Walaupun menghormati kepercayaan dan adat Islam, campur tangan agama dalam bidang politik, kehakiman dan pendidikan tidak boleh diterima," katanya. Wang juga berkata, negara itu amat menggalakkan supaya masjid baharu menonjolkan ciri China dan kebangsaan, bukan meniru gaya pembinaan luar.

Katanya, beliau menghargai hasil usaha Persatuan Islam China (IAC) sejak lima tahun lalu. "IAC perlu melahirkan ulama dan menjalin hubungan secara aktif dengan negara asing," katanya. Ulasannya itu dibuat ketika China mengetatkan peraturan bagi majlis keagamaan dan mengarahkan penduduk di Xinjiang untuk menyerahkan pasport dalam usaha mengehadkan cubaan mereka berhijrah ke luar negara.

Mereka diarah menyerahkan pasport kepada balai polis tempatan untuk tujuan pemeriksaan dan pengurusan. "Mereka yang enggan berbuat demikian bertanggungjawab ke atas diri sendiri jika dilarang ke luar negara," menurut arahan kerajaan tempatan yang dikeluarkan minggu lalu.

Xinjiang juga sudah menubuhkan jawatankuasa agama dan komuniti penduduk untuk menguruskan amalan agama sejak September lalu, meminta penduduk melaporkan aktiviti agama atau majlis dihadiri golongan agama, termasuk berkhatan, perkahwinan dan pengebumian. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217717

27 November 2016

Penduduk Islam Xinjiang diarah serah pasport




GAMBAR fail, penduduk Islam Uighur di luar masjid di Urumqi.
Urumqi: Pihak berkuasa China mengarahkan penduduk Islam di wilayah Xinjiang menyerahkan pasport masing-masing.

Dalam penjelasannya menerusi akhbar Global Times, pihak berkuasa berkata, langkah itu bertujuan untuk menjaga ketenteraman.

Mereka yang ingin menggunakan pasport itu semula perlu memohonnya di balai polis.

Penduduk yang enggan menyerahkannya kemungkinan tidak akan dibenarkan meninggalkan wilayah itu.

Majoriti penduduk Xinjiang beragama Islam dari etnik Uighur.

Untuk memperoleh pasport di wilayah berkenaan semakin sukar sejak 2015 berikutan tindakan kerajaan China mengekang penduduk Islam ke luar negara

Mereka diperlukan menyediakan pelbagai dokumen dan dilaporkan perlu menunggu sehingga lima tahun sebelum boleh mendapatkan pasport.

William Nee, penyelidik China di Amnesty International berkata: “Pihak berkuasa China meningkatkan lagi kawalan terhadap kehidupan penduduk Islam Uighur. Kini, hampir semua aspek kehidupan mereka sudah dikawal. Ini bukan untuk mengawal penjenayah ke luar negara bagi menjalani latihan pengganas seperti yang didakwa kerajaan. Ia bertujuan memastikan masalah penindasan etnik itu tidak tersebar. Itu yang dikhuatirkan kerajaan sebenarnya.”

Bulan lalu, kerajaan China mengumumkan dasar baru pelajaran yang melarang kanak-kanak digalakkan melakukan aktiviti keagamaan.

Arahan sebelum ini mengharamkan lelaki menyimpan janggut sementara wanita dilarang menutup aurat, khususnya bahagian kepala. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 9:45 AM