Tentera China meronda kawasan luar Masjid Id Kah selepas imam masjid, Imam Jumwe Tahir dibunuh oleh penyerang selepas solat Subuh di Kashgar, wilayah Xinjiang, China, pada 30 Julai lalu. Lapan orang dijatuhi hukuman mati kerana terlibat dalam dua serangan berdarah di Xinjiang, semalam. – AGENSI
XINJIANG 8 Dis. – Mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas lapan individu yang terlibat dalam dua serangan berdarah di wilayah Xinjiang, China pada April dan Mei lalu.
Stesen televisyen, CCTV melaporkan, lima yang lain diberi penangguhan hukuman mati yang selalunya digantikan dengan penjara seumur hidup, manakala empat individu lagi dihukum penjara.
Hukuman yang diputuskan Mahkamah Rakyat Pertengahan di Urumqi itu merupakan langkah terbaharu Beijing dalam menentang keganasan di bahagian barat negara ini.
Dalam serangan pertama, penyerang menggunakan pisau dan bahan letupan di sebuah stesen keretapi di Urumqi yang menyebabkan seorang maut dan 79 yang lain cedera pada hari terakhir lawatan Presiden China, Xi Jinping, April lalu.
Dalam serangan kedua, 39 orang terbunuh, termasuk empat penyerang, manakala 90 yang lain cedera selepas penyerang meletupkan sebuah pasar pagi di Urumqi pada Mei lalu.
Sejak tahun lalu, sekurang-kurangnya 200 orang terbunuh dalam beberapa siri pergelutan dan serangan di Xinjiang serta kawasan sekitarnya.
Beijing menuduh keganasan yang berlaku dicetuskan oleh ‘kumpulan pemisah’ manakala badan hak asasi mendakwa, kerajaan China mengenakan sekatan budaya dan agama di Xinjiang yang didiami penduduk minoriti Uighur Islam, menyebabkan keadaan lebih tegang.
Namun, China mempertahankan polisi tersebut yang disifatkan membantu meningkatkan taraf ekonomi tempatan serta melindungi hak agama penduduk minoriti negara ini. – AFP
No comments:
Post a Comment