Gambar tidak bertarikh memaparkan sekumpulan anggota separa tentera, berkawal selepas satu serangan berlaku di Xinjiang, China yang dihuni etnik Uighur. AGENSI
BEIJING 24 Jun – Sekurang-kurangnya 18 orang maut apabila anggota etnik Uighur bersenjatakan pisau dan bom, didakwa menyerang polis di pos pemeriksaan lalu lintas di Xinjiang, lapor badan penyiasaran, Radio Free Asia hari ini.
Radio Free Asia menyatakan, serangan berlaku di bandar Kashgar, kelmarin yang menyaksikan suspek membunuh sejumlah polis selepas mereka yang menaiki sebuah kereta melanggar pos pemeriksaan tersebut di daerah Tahtakoruk.
Seorang pegawai polis, Turghun Memet berkata, polis membalas serangan dan membunuh 15 suspek yang dikategorikan sebagai pengganas.
Radio Free Asia melaporkan, mereka yang terbunuh adalah antara 18 dan 28 orang termasuk beberapa pejalan kaki ekoran jumlah kematian diberikan oleh polis berbeza-beza.
Cubaan untuk mendapatkan kenyataan daripada kerajaan Xinjiang dan jabatan keselamatan awam gagal.
Jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang berkata, beliau tidak dapat mengesahkan laporan tersebut.
“Bagaimanapun, jika kejadian itu benar berlaku, kerajaan China bertanggungjawab untuk mengambil pendekatan menghentikan tindakan ganas ini bagi memastikan keamanan dan kestabilan di Xinjiang,’’ katanya.
Beratus-ratus orang terbunuh dalam keganasan di wilayah tersebut, yang didakwa didalangi pergerakan pemisah Islam. – Reuters
No comments:
Post a Comment