Soal siasat tersebut dijalankan 11 hari selepas berlakunya pengeboman berhampiran Kuil Erawan yang mengakibatkan 20 orang terkorban termasuk lima orang warganegara Malaysia.
“Polis di wilayah Sa Kaeo, timur negara ini telah menyoal siasat tiga etnik Uighur berhubung kejadian tersebut,” kata Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoung dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut tentang motif utama siasatan.
Pihak berkuasa yang kini sedang giat memburu dalang di sebalik kejadian tersebut mendakwa, suspek utama kes berkenaan adalah warga asing.
Daripada analisis keselamatan yang dijalankan, pihak berkuasa mendakwa etnik Islam Uighur merupakan dalang letupan itu selepas kerajaan Thailand menghantar pulang 109 orang etnik berkenaan ke China, bulan lalu.
Sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kejadian tersebut, walaupun kamera litar (CCTV) tertutup berjaya merakam kelibat suspek utama pengeboman. – AFP