Penyokong kumpulan agama Falun Gong mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan China mengambil organ tahanan agama untuk dijual kepada pesakit warga asing di Sydney, Australia pada September lalu. Agensi
BEIJING 4 Okt. - Kerajaan China dituduh mengambil jantung, hati dan buah pinggang ‘tahanan agama’ ketika mereka masih hidup untuk dijual kepada pesakit warga asing yang memerlukan pemindahan organ.
Laman web Daily Mirror melaporkan, satu dokumentari baharu cuba mendedahkan tindakan yang didakwa berlaku sejak 2006 apabila peguam hak asasi manusia memulakan kempen berhubung isu tersebut.
Dokumentari bertajuk Hard To Believe itu, turut mendakwa penyokong kumpulan agama Falun Gong dijadikan sasaran dalam aktiviti melanggar undang-undang itu.
Pengarah dokumentari tersebut, Ken Stone berkata, apa yang menarik untuk mengarah filem itu adalah terdapat bukti kuat, tetapi tiada sesiapa yang menyebut mengenainya.
“Apa yang kami bentangkan dalam dokumentari itu adalah melihat mengapa laporan dan dokumentari tidak mendapat perhatian.
“Sejumlah orang dapat memberikan bukti yang sangat kukuh tetapi pendedahan mereka tidak dihiraukan,’’ katanya kepada portal Mail Online.
Kumpulan agama Falun Gong bermula pada 1990-an dengan 100 juta pengikut, namun kerajaan China mengenakan tindakan tegas ke atas agama itu dengan beribu-ribu orang ditahan dan menjadi tahanan agama.
Sejak 1999, kumpulan agama itu telah diharamkan tetapi pada hakikatnya Falun Gong masih aktif.
Dokumentari itu melihat cubaan wartawan penyiasatan, Ethan Gutmann bersama Setiausaha Negara Kanada, David Kilgour dan peguam hak asasi manusia, David Matas untuk mendedahkan dakwaan mengambil organ secara haram itu.
Dalam filem itu, seorang pakar bedah turut mengaku mengambil organ banduan-banduan berkenaan.
“Terdapat kecenderungan umum untuk tidak mahu mengetahui mengenai kekejaman yang berlaku di hadapan mata anda. Kita mengesahkan kekejaman teruk hanya selepas kejadian itu berakhir. Lihatlah berapa lama kemusnahan ke atas masyarakat Yahudi diiktiraf sebagai kekejaman.
“Kita boleh melihat corak ini berulang-ulang,’’ katanya.
Dokumentari itu dijangka disiarkan pada minggu depan ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyambut ketibaan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping melawat AS bagi menghadiri perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
No comments:
Post a Comment