14 November 2014

130 pendatang Uighur lari dari pusat tahanan


Bangkok: Lebih 130 pendatang disyaki Uighur dari China melarikan diri dari pusat perlindungan sementara di Songkhla.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Awam berkata, ia bimbang mereka menjadi mangsa kumpulan pemerdagangan manusia.
Mac lalu, 218 pendatang yang mendakwa dari Turki ditahan di Songkhla selepas serbuan dilakukan di sebuah kem di tengah hutan.
Kedutaan China kemudian mengesahkan mereka sebenarnya etnik Uighur beragama Islam dari barat laut negara itu.
Daripada jumlah itu, 195 wanita dan kanak-kanak dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak kementerian berkenaan.
Semuanya terdiri daripada 70 wanita, 73 budak perempuan dan 52 kanak-kanak lelaki.
Pendatang lelaki pula ditahan di pejabat imigresen di beberapa wilayah.
Menurut laporan pusat perlindungan terbabit kepada kementerian itu, setakat 6 November lalu, 137 disyaki pendatang Uighur melarikan diri dari pusat itu.
Lapan cubaan melarikan diri turut direkodkan antara 1 Julai dan 8 November lalu, namun ada di antaranya ditemui pihak berkuasa sebelum dibawa semula ke pusat perlindungan itu.
Menurut sumber, kerajaan Thai masih belum menghantar pulang pendatang itu kerana kerakyatan mereka masih belum dapat disahkan.
Sumber itu turut menambah terdapat tekanan antarabangsa supaya mereka tidak dihantar pulang ke China kerana bimbang ditindas. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8920#sthash.njT5oTiT.dpuf

No comments:

Post a Comment