29 November 2014

3,000 kawal Xinjiang


Agensi
Urumqi: Untuk kali pertama dalam sejarah, pentadbiran wilayah Xinjiang bakal merekrut 3,000 bekas tentera untuk berkawal di kawasan petempatan sebagai langkah mengatasi ancaman keganasan.
Laman sesawang rasmi Biro Hal Ehwal Awam Xinjiang semalam mengumumkan, antara kriteria yang ditetapkan ialah setiap bekas tentera terbabit mestilah berusia kurang daripada 30 tahun dan menolak sebarang aktiviti pemisahan atau agama yang tidak dibenarkan.
Mereka juga mestilah tidak mempunyai sebarang rekod buruk dan mesti lulus peperiksaan khas membabitkan aspek politik serta kesihatan fizikal.
“Apabila diterima, petugas terbabit diberi barayan sekurang-kurangnya 3,000 yuan (RM1,500) sebulan serta kemudahan kediaman,” menurut iklan dalam laman sesawang berkenaan.
Langkah berkenaan, kata kerajaan, dapat mengekalkan kestabilan di wilayah Xinjiang, selain membantu bekas tentera mendapatkan pekerjaan.
Penduduk majoriti Xinjiang beragama Islam dan wilayah berkenaan sering mengalami keganasan dari semasa ke semasa disebabkan pelbagai faktor.
Di samping itu, ketegangan etnik juga menyumbang kepada masalah keselamatan penduduk di wilayah berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Asia Tengah di Akademi Sains Sosial Xinjiang, Pan Zhiping berkata, langkah diperkenalkan kerajaan berkenaan dapat mencerminkan keazaman oleh pihak berkuasa untuk mengekang keganasan yang dilaporkan kian semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
“Situasi di Xinjiang semakin buruk dan kerajaan perlukan lebih ramai petugas untuk menghalang kekacauan daripada semakin merebak,” katanya dalam satu kenyataan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:08 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12730#sthash.Co8iu4iJ.dpuf

No comments:

Post a Comment