Jakarta: Mahkamah di Indonesia semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang lelaki etnik Uighur kerana cuba menyertai sekutu Negara Islam (IS) Indonesia yang diketuai militan paling dikehendaki negara itu.
Ahmed Bozoglan yang berasal dari China ditahan pada September tahun lalu di pulau Sulawesi selepas dia dan tiga lagi lelaki cuba berjumpa ketua kumpulan militan Mujahidin Timur Indonesia, Santoso.
Tiga lelaki berkenaan dihukum penjara enam tahun pada awal bulan ini.
Kumpulan militan itu yang bersembunyi di hutan dianggap antara kumpulan pengganas yang masih mengancam Indonesia serta sering menyerang polis.
Santoso sebelum ini mengisytiharkan sokongan terhadap IS.
Hakim Houtman Tobing berkata, Bozoglan, 28, didapati bersalah dalam satu konspirasi jahat untuk menyertai IS dan masuk ke Indonesia secara haram menggunakan pasport palsu Turki.
“Tindakan tertuduh menimbulkan kebimbangan dan ketakutan,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:15 AM
No comments:
Post a Comment