BEIJING: Sekurang-kurangnya lima pegawai polis maut akibat ditikam dengan pisau oleh anggota kumpulan pemisah di lombong arang batu di wilayah bergolak, Xinjiang, demikian menurut siaran radio Free Asia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Kejadian dilaporkan berlaku Jumaat lalu di Lombong Sogan di Aksu, wilayah barat China itu dengan memetik sumber polis.
Turut dilaporkan berpuluh lagi cedera dalam serangan itu.
"Serangan dipercayai dilakukan selepas perancangan yang lama dan membabitkan ramai orang oleh anggota pemisah terhadap pegawai polis dan pemilik lombong arang batu itu," kata seorang pegawai kerajaan yang dipetik Radio Free Asia.
Beberapa panggilan kepada pegawai kerajaan Xinjiang dan jabatan keselamatan tidak berjawab.
Pada Jun lalu, Radio Free Asia melaporkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam serangan yang dilakukan etnik Uighur ke atas polis menggunakan pisau dan bom di sebuah pusat pemeriksaan trafik di Laluan Silk berdekatan Kashgar. - Reuters
No comments:
Post a Comment