Bilal Muhammad
BANGKOK 28 Sept. – Pemburuan suspek serangan pengeboman Kuil Erawan di tengah Bangkok awal bulan lepas, berakhir selepas seorang lelaki Uighur bernama Bilal Muhammad atau Adem Karadag mengaku melakukan letupan berkenaan.
Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Poompanmoung mengesahkan perkara tersebut dan mengaitkan insiden itu dengan kes penyeludupan manusia yang berjaya ditumpaskan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.
“Pemburuan suspek sudah selesai. Dalang disebalik kejadian serangan bom ini adalah kumpulan yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan manusia.
“Walaupun telah selesai, namun kita tidak menolak kemungkinan ada ramai lagi suspek yang terlibat dengan kegiatan terlarang.
Siasatan masih lagi diteruskan,” katanya hari ini.
Jelas beliau, pendakwaan juga akan dijalankan selepas suspek mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bersama seorang lagi lelaki Uighur, Yusufu Mieraili.
“Kedua-dua suspek mengaku tanpa paksaan selepas bukti dan saksi menyatakan mereka terlibat,” jelas Somyot.
Serangan pada 17 Ogos itu menyebabkan 20 orang maut dan 130 orang cedera.
Bilal dikenalpasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar kuil berkenaan.
Menurut laporan Channel News Asia, sejak serangan tersebut, polis Thailand telah menemuramah lebih 200 saksi.
No comments:
Post a Comment