26 October 2014

'Tidak benar kebebasan media di China terhad'


25 Oktober 2014


SHANGHAI - CHINA. Kebebasan media dikatakan terhad di China pada tanggapan dunia adalah tidak benar, kata Yan Chengsheng, Timbalan Pengarah Bahagian Kerjasama Antarabangsa bagi Jabatan Pengurusan Negara Radio, Filem Dan Televisyen China (SARFT).
    
Beliau berkata, tanggapan itu timbul disebabkan kebanyakan stesen radio dan televisyen ditubuhkan oleh kerajaan tempatan dan ini tidak sepatutnya dilihat sebagai dasar kongkongan kerajaan China terhadap media.
   
Katanya, sebaliknya penglibatan pihak swasta terutamanya pelaburan dalam penerbitan filem, drama dan program TV adalah giat tanpa halangan daripada kerajaan, kerana kerjasama itu merupakan sumber pendapatan utama bagi kebanyakan stesen televisyen di China.
    
"Jika tidak ada kebebasan media, cuba fikirkan adakah syarikat swasta sudi melaburkan dana mereka di stesen-stesen TV yang ditubuhkan oleh setiap kerajaan tempatan di China?" katanya pada sesi soal jawab Seminar Penerbitan Program Radio Dan Televisyen Bagi Negara-Negara Sedang Membangun 2014, di sini.
   
Seminar yang bermula 23 Oktober hingga 4 November itu diadakan bertujuan memberi peluang kepada pengamal media daripada negara berkenaan berkongsi pendapat berhubung penerbitan berita dan program radio dan televisyen.

Yan berkata, tidak dinafikan media di China tidak dibenarkan mengkritik kerajaan dengan sewenang-wenangnya, namun begitu keadaan yang sama turut diamalkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat. - Bernama

No comments:

Post a Comment