29 December 2015

Dasar penindasan lenyapkan identiti Uighur


Gambar bertarikh 10 Julai 2009 merakamkan etnik Uighur menunaikan solat di sebuah masjid persendirian selepas Kerajaan Pusat menutup masjid-masjid lain di Xinjiang. Agensi
OLEH MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN DAN KASTHURI JEEVENDRAN  |  28 Disember 2015 12:15 AM


Menyebut tentang Xinjiang, pasti ramai tersentuh dengan isu penindasan etnik minoriti Islam Uighur di China yang berlanjutan sejak berpuluh-puluh tahun dahulu berikutan pelaksanaan dasar ketat oleh Beijing.
Menyingkap kembali sejarah singkat tentang etnik Uighur, masyarakat itu merupakan kumpulan etnik asli Turkik yang tinggal di kawasan pergunungan Altay di Asia Tengah kira-kira 4,000 tahun dahulu.
Penindasan Islam Uighur yang tidak berkesudahan di wilayah Xinjiang sehingga hari ini. Agensi
Berdasarkan catatan sejarah, Uighur membangun sebagai masyarakat yang maju dan memainkan peranan penting dalam pertukaran budaya di sepanjang Laluan Sutera iaitu rangkaian per­dagangan purba yang menghubungkan rantau Asia, Barat dan Timur.
Sebagai hab pertembungan budaya, etnik Uighur memilih Islam sebagai agama pada abad ke-10 selepas Sultan Satuq Bughra Khan menjadi pemimpin pertama dinasti Turkik memeluk agama Islam.
Malah pada abad kelapan dan kesembilan, etnik Uighur berkembang sebagai satu empayar yang mempunyai kuasa dominan di Asia Tengah, sekali gus mengundang rasa cemburu dan iri hati daripada pihak musuh terutamanya daripada China.
Kejatuhan empayar Uighur bermula apabila etnik minoriti bangsa Cina, Manchu melancarkan pencerobohan pada 1800-an selain kedatangan fahaman nasionalis dan komunis dari China dan Rusia.
Akibatnya, empayar Uighur berpecah ke serata Asia Timur dan Asia Tengah dan kini kebanyakan etnik itu tinggal di tanah air mereka iaitu Wilayah Autonomi Xinjiang di China, sekali gus menjadi kumpulan etnik terbesar di wilayah tersebut.
Walaupun menetap di wilayah autonomi, etnik Uighur disenaraikan antara masyarakat yang ditindas ekoran dasar tidak masuk akal yang dilaksanakan oleh kerajaan terma­suk larangan berpuasa, mengehadkan jumlah masjid, mengenakan kawalan yang ketat terhadap sekolah agama, menahan secara rambang, dan mengenakan hukuman terhadap etnik minoriti itu.
Dasar Beijing disifatkan sebagai sengaja mahu menghapuskan aktiviti kebudayaan, keagamaan, dan komersial etnik Uighur secara perlahan-lahan, lebih-lebih lagi melaksanakan polisi penghijrahan dengan menempatkan etnik Han ke wilayah itu bagi memecahkan dominasi masyarakat Islam Uighur.
Malah dilaporkan, etnik Han diberi lampu hijau untuk merampas pekerjaan etnik Uighur selain merampas tanah dengan alasan pembangunan semula oleh kerajaan tempatan.
Penghijrahan secara beramai-ramai etnik Han ke Xinjiang menyebabkan kira-kira 15 juta etnik Uighur di wilayah itu menjadi masyarakat minoriti di tanah asal mereka selain menghakis sedikit demi sedikit identiti sebuah masyarakat yang pernah berkuasa di Asia Tengah.
Selepas insiden serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat, kerajaan China mengambil kesempatan melabelkan etnik Uighur sebagai kumpulan pengganas yang mempunyai hubungan dengan militan al-Qaeda dan me­nuduh masyarakat itu menerima latihan di Afghanistan untuk me­lancarkan serangan di China.
Namun tiada bukti kukuh yang menunjukkan etnik Uighur terlibat dalam aktiviti keganasan.
Berdasarkan statistik, konflik antara etnik Uighur dan kerajaan China sejak 1960-an meragut kira-kira 800 nyawa, tetapi angka itu dipercayai lebih tinggi kerana Beijing melaksanakan penapisan be­rita berkaitan isu di wilayah itu.
Tragedi paling besar berlaku pada 2009 apabila hampir 200 orang terbunuh, kebanyakannya etnik Uighur selepas rusuhan agama tercetus di Urumqi antara masyarakat Islam tersebut dengan etnik Han.
Malah pada zaman teknologi maklumat pada hari ini, laporan perkembangan situasi umat Islam Uighur sukar didapati di Internet disebabkan kawalan ketat kerajaan China terhadap penyebaran berita.
Selain mengetatkan undang-undang, kerajaan China turut menyasarkan identiti etnik Uighur dengan memusnahkan kawasan penempatan tradisional di bandar terkenal Laluan Sutera, Kashgar.
Projek Hak Asasi Uighur (UHRP) yang membela nasib etnik mino­riti itu melaporkan, tindakan memusnahkan kawasan bersejarah tersebut merupakan sebahagian pelan pihak berkuasa China untuk memindahkan hampir sejuta penduduk Islam Uighur di barat laut Xinjiang dan memberi laluan kepada penghijrahan etnik Han.
Projek itu memusnahkan tapak warisan dunia dan kebudayaan bersejarah memandangkan bandar Kashgar pernah dikenali sebagai satu daripada bandar tradisional Islam paling terpelihara di dunia.
Walaupun Uighur masih majo­riti di Kashgar, wujud kebimbangan bandar itu mungkin menerima nasib seperti Urumqi yang didominasi kira-kira 75 peratus etnik Han berdasarkan bancian pada tahun 2000 berbanding hanya 20 peratus pada tahun 1949.
Situasi di Xinjiang pada hari ini diibaratkan seperti bom jangka kerana rusuhan kaum dan keganasan terbaharu boleh tercetus pada bila-bila masa selagi kerajaan China terus mengamalkan dasar penindasan terhadap etnik Uighur.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/dasar-penindasan-lenyapkan-identiti-uighur-1.173515#sthash.rzaihG26.dpuf

25 December 2015

Dua lagi suspek militan ditahan

Jakarta: Polis Indonesia berkata, mereka menahan dua lagi suspek militan, termasuk seorang etnik Uighur dari China yang didakwa bersiap sedia untuk menjadi pengebom berani mati.
Jurucakap polis Mejar Jeneral Anton Charliyan berkata, suspek ditahan di dua tempat berasingan di Bekasi, bandar di Jawa Barat yang bersempadan dengan timur Jakarta, kelmarin.
Penahanan Arif Hidayatullah atau Abu Mush’ab dan Alli, etnik Uighur yang menggunakan kad pengenal palsu itu dilakukan ketika pihak berkuasa Indonesia meningkatkan keselamatan selepas pegawai berkata, wujud ancaman serangan ketika sambutan Krismas dan cuti hujung tahun ini.
Kerajaan mengerahkan kira-kira 150,000 polis dan tentera untuk menjaga ketenteraman sepanjang cuti itu, termasuk mengawal gereja dan lapangan terbang tempat awam di seluruh negara itu. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:06 AM


POLIS Indonesia mengawal di luar sebuah gereja di Jakarta, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102446#sthash.0PcgY2rD.dpuf

20 November 2015

China bunuh 17 suspek serangan di Xinjiang


Gambar fail merakamkan pasukan polis separa tentera China mengadakan latihan bagi menyertai operasi keselamatan di bandar Urumqi, ibu negeri wilayah Xinjiang pada 29 Jun lalu. China meningkatkan kawalan keselamatan di wilayah etnik minoriti Islam Uighur itu ekoran serangan militan di Paris pada Jumaat lalu. REUTERS
BEIJING 18 Nov. - Pihak keselamatan China membunuh sebanyak 17 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, yang dituduh terlibat dalam satu serangan berdarah di lombong arang batu di wilayah Xinjiang pada September lalu.
Stesen radio yang beroperasi di Amerika Syarikat (AS), Radio Free Asia yang memetik sumber keselamatan China melaporkan, tentera China bertindak meletupkan gua yang menjadi tempat persembunyian kesemua mangsa di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.
Jelas sumber terbabit, tiga lelaki yang dibunuh merupakan ketua kumpulan yang bertanggungjawab melancarkan serangan di lombong arang batu di Sogan dekat Aksu pada 18 September lalu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh.
Baki 14 lagi mangsa yang dibunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak merupakan ahli keluarga kepada ketiga-tiga suspek berkenaan.
Radio Free Asia mendakwa kesemua suspek yang terbunuh merupakan etnik majoriti Han, tetapi pihak berkuasa China mendakwa kumpulan pemisah daripada etnik minoriti Islam Uighur sebagai dalang serangan tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan Xinjiang gagal dihubungi untuk mengulas lanjut tentang operasi tersebut. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/china-bunuh-17-suspek-serangan-di-xinjiang-1.159972#sthash.xNukTLPj.dpuf

19 November 2015

China bunuh 17 suspek serangan di Xinjiang

19 November 2015 12:33 AM


Gambar fail merakamkan pasukan polis separa tentera China mengadakan latihan bagi menyertai operasi keselamatan di bandar Urumqi, ibu negeri wilayah Xinjiang pada 29 Jun lalu. China meningkatkan kawalan keselamatan di wilayah etnik minoriti Islam Uighur itu ekoran serangan militan di Paris pada Jumaat lalu. REUTERS


BEIJING 18 Nov. - Pihak keselamatan China membunuh sebanyak 17 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, yang dituduh terlibat dalam satu serangan berdarah di lombong arang batu di wilayah Xinjiang pada September lalu. Stesen radio yang beroperasi di Amerika Syarikat (AS), Radio Free Asia yang memetik sumber keselamatan China melaporkan, tentera China bertindak meletupkan gua yang menjadi tempat persembunyian kesemua mangsa di sebuah lokasi yang tidak didedahkan. Jelas sumber terbabit, tiga lelaki yang dibunuh merupakan ketua kumpulan yang bertanggungjawab melancarkan serangan di lombong arang batu di Sogan dekat Aksu pada 18 September lalu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh. Baki 14 lagi mangsa yang dibunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak merupakan ahli keluarga kepada ketiga-tiga suspek berkenaan. Radio Free Asia mendakwa kesemua suspek yang terbunuh merupakan etnik majoriti Han, tetapi pihak berkuasa China mendakwa kumpulan pemisah daripada etnik minoriti Islam Uighur sebagai dalang serangan tersebut. Bagaimanapun, kerajaan Xinjiang gagal dihubungi untuk mengulas lanjut tentang operasi tersebut. – REUTERS - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/china-bunuh-17-suspek-serangan-di-xinjiang-1.159972#sthash.ocqHU879.dpuf

5 October 2015

Dokumentari kisah organ banduan dicuri


DOKUMENTARI bertajuk Hard To Believe mendedahkan sindiket perdagangan organ banduan di China. - AGENSI


BEIJING – Beribu-ribu organ manusia termasuk hati, buah pinggang, kornea dan jantung daripada tahanan agama di China telah dicuri semasa mereka masih hidup dan dunia tidak memberi perhatian tentang isu itu, menurut sebuah dokumentari baru-baru ini.
Khabar angin perdagangan organ di China mula menjadi perhatian umum pada 2006 dan turut disokong oleh peguam-peguam hak asasi manusia, saksi-saksi dan pakar bedah yang melakukan aktiviti itu.
Namun dakwaan penganut kepercayaan Falun Gong menjual organ mereka kepada pelancong pemindahan organ yang kaya dari seluruh dunia masih belum dipandang serius.
Dokumentari bertajuk Hard to Believe, memberi gambaran penyiasatan mengapa dunia sanggup menutup mata kepada salah satu daripada pencabulan hak asasi manusia paling dahsyat pada masa ini.
“Apa yang membuatkan saya menghasilkan dokumentari ini adalah bukti yang ada sangat kuat namun ia sukar dibincangkan,” ujar pengarah, Ken Stoneke kepada MailOnline.
Seorang doktor dari etnik Uighur dari wilayah Xinjiang, barat China mendedahkan penglibatannya dalam sindiket itu apabila dipaksa mengeluarkan organ daripada badan seorang banduan yang terkena tembakan sebelum bekerja sebagai pemandu teksi di London.
Laman web Matas dan Kilgour melaporkan penyiasatan awal pada 2006 mendapati hospital mengenakan caj £19,800 (RM132,000) bagi satu organ kornea, buah pinggang (£40,900 atau RM274,000) dan (£86,000 atau RM576,000) bagi hati atau jantung.
Bukti utama menunjukkan organ di China mempunyai kadar pemindahan organ kedua tertinggi di dunia, walaupun hanya 37 orang mendaftar sebagai penderma di seluruh negara, menurut Palang Merah.
China sendiri mengumumkan bahawa kira-kira 10,000 pemindahan organ dilakukan setiap tahun dan mengakui angka lebihan itu datang daripada banduan yang dihukum mati.
Hasil penyiasatan juga membuat kesimpulan bahawa kira-kira 40,000 tahanan Falun Gong telah dibunuh kerana organ mereka. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1005&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ne9lAGhb 
Hakcipta terpelihara 

China dituduh ambil organ tahanan agama

penyokong kumpulan agama Falun Gong mengadakan demonstrasi membantah

Penyokong kumpulan agama Falun Gong mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan China mengambil organ tahanan agama untuk dijual kepada pesakit warga asing di Sydney, Australia pada September lalu. Agensi
BEIJING 4 Okt. - Kerajaan China dituduh mengambil jantung, hati dan buah pinggang ‘tahanan agama’ ketika mereka masih hidup untuk dijual kepada pesakit warga asing yang memerlukan pemindahan organ.
Laman web Daily Mirror me­laporkan, satu dokumentari baharu cuba mendedahkan tindakan yang didakwa berlaku sejak 2006 apabila peguam hak asasi manusia memulakan kempen berhubung isu tersebut.
Dokumentari bertajuk Hard To Believe itu, turut mendakwa penyokong kumpulan agama Falun Gong dijadikan sasaran dalam aktiviti melanggar undang-undang itu.
Pengarah dokumentari tersebut, Ken Stone berkata, apa yang menarik untuk mengarah filem itu adalah terdapat bukti kuat, tetapi tiada sesiapa yang menyebut me­ngenainya.
“Apa yang kami bentangkan dalam dokumentari itu adalah melihat mengapa laporan dan dokumentari tidak mendapat perhatian.
“Sejumlah orang dapat memberikan bukti yang sangat kukuh tetapi pendedahan mereka tidak dihiraukan,’’ katanya kepada portal Mail Online.
Kumpulan agama Falun Gong bermula pada 1990-an dengan 100 juta pengikut, namun kerajaan China mengenakan tindakan tegas ke atas agama itu dengan beribu-ribu orang ditahan dan menjadi tahanan agama.
Sejak 1999, kumpulan agama itu telah diharamkan tetapi pada hakikatnya Falun Gong masih aktif.
Dokumentari itu melihat cubaan wartawan penyiasatan, Ethan Gutmann bersama Setiausaha Negara Kanada, David Kilgour dan peguam hak asasi manusia, David Matas untuk mendedahkan dakwaan mengambil organ secara haram itu.
Dalam filem itu, seorang pakar bedah turut mengaku mengambil organ banduan-banduan ber­kenaan.
“Terdapat kecenderungan umum untuk tidak mahu menge­tahui mengenai kekejaman yang berlaku di hadapan mata anda. Kita mengesahkan kekejaman teruk hanya selepas kejadian itu berakhir. Lihatlah berapa lama kemusnahan ke atas masyarakat Yahudi diiktiraf sebagai kekejaman.
“Kita boleh melihat corak ini berulang-ulang,’’ katanya.
Dokumentari itu dijangka di­siarkan pada minggu depan ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyambut ketibaan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping melawat AS bagi mengha­diri perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/china-dituduh-ambil-organ-tahanan-agama-1.142849#sthash.5aoDcC7c.dpuf

30 September 2015

Analisis: Mengapa China menzalimi muslim Uighur?




http://www.ismaweb.net/2015/09/analisis-mengapa-china-menzalimi-muslim-uighur/

Berikut adalah tiga faktor mengapa kerajaan China menzalimi muslim Uighur:
1) Xinjiang kaya dengan sumber minyak
minyak uighur
Sumber minyak di Xinjiang (Sumber: The Economist)
Penemuan minyak di Xinjiang telah menarik perhatian seluruh dunia dan delegasi ke Xinjiang. Beijing pula bimbang sekiranya pengaruhnya ke atas Xinijang akan hilang maka China telah merancang untuk membangunkan Xinjiang sebagai penghubung dengan Asia Tengah, rancangan ini termasuklah meningkatkan migrasi etnik Han; etnik majoriti di China ke Xinjiang.
Pelbagai perancangan telah dilakukan termasuklah (1990) mencipta Zon Ekonomi Khas, memberi subsidi kepada para petani kapas tempatan dan merombak semula sisitem cukai. Xinjiang (Ogos 1991) melancarkan Projek Tarim Basin untuk meningkatkan hasil pertanian. Kemudian, Beijing melabur dalam infrastruktur Xinjiang, projek pembangunan besar-besaran seperti Lebuhraya Tarim Desert dan landasan kereta api ke barat Xinjiang. Projek ini dibina untuk ‘’mengikat’’ Xinjiang dengan Republik Rakyat China.
Kemudian, Xinjiang telah dibina sebuah penempatan pertanian; Bintuan (1954) melalui Pasukan Penghasilan dan Pembangunan Xinjiang (XPCC) yang bertujuan untuk membina dan menjaga sempadan China, mempunyai organisasi keselamatan tersendiri; pasukan polis bersenjata dan tentera, dan mampu menarik pekerja asing secara konsisten. Hasilnya, Xinjiang mula dikawal rapi oleh XPCC. Kemudian, Beijing mula memperkenalkan Xinjiang kepada seluruh dunia dengan kempen ‘’ ’Open up the West’’ dan ‘’Go West’’ melalui sebuah polisi pada tahun 2000.
Pada tahun 2010, Parti Komunis China bertemu untuk membincangkan pembangunan ekonomi Xinjiang dan menetapkan pelan lima tahun untuk meningkatkan pembangunan dan kestabilan berpanjangan. Tetapi hakikatnya pelan itu bertujuan untuk menghapuskan populasi etnik Muslim Uighur.
2) Potensi ekonomi wilayah Xinjiang
Pelan pembersihan etnik Uighur dapat dilihat apabila semakin bertambah peluang pekerjaan di Xinjiang, semakin ramai pekerja asing ke Xinjiang, di mana majoritinya terdiri daripada etnik Han dan meningkat dari 6.7% (1949) ke 40% (2008). Malah migrasi etnik Han disokong oleh kerajaan China dengan memberi insentif kepada sesiapa sahaja dari setiap pelosok negaranya yang berpindah ke Xinjiang atas alasan untuk merekrut tenaga kemahiran dan meningkatkan kestabilan.
Bukan itu sahaja, peluang pekerjaan banyak diberi kepada etnik Han berbanding Muslim Uighur oleh kebanyakan syarikat swasta dan kerajaan. Ditambah pula dengan etnik Han yang berkecenderungan untuk lebih kaya berbanding Uighur apabila ekonomi Xinjiang dimonopoli oleh Han manakala Uighur hanya bergantung kepada jualan karpet dan permaidani. Bukan itu sahaja, pelan diteruskan dengan pemusnahan kota Kashgar; terletak di Jalan Sutera yang banyak menyimpan sejarah dan kebudayaan etnik Uighur atas alasan langkah berjaga bagi menghadapi gempa bumi.
Parti Komunis berkata polisi yang dikenakan ke atas Xinjiang bertujuan untuk membangunkan ekonomi bukan perubahan demografi namun, dengan kebanjiran etnik Han ke Xinjiang, Muslim Uighur turut menghadapi kekangan sumber air bersih dan tanah subur untuk minuman, pertanian dan pengairan.
Kemuncak kepada ketegangan etnik ini berlaku apabila rusuhan dahsyat berlaku pada Julai 2009 antara komuniti Han dan Uighur serta polis di ibu kota Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR), Urumqi yang berpunca daripada bantahan terhadap pembunuhan dua orang Muslim Uighur di selatan wilayah Guandong. Hampir 200 orang terbunuh, 1600 orang cedera dan 718 orang ditahan oleh polis. Sejak itu, beberapa siri rusuhan telah berlaku dan menjadikan Xinjiang wilayah yang paling tidak stabil di China.muslim uighur 2
3) Islam di Xinjiang mengancam kerajaan China
Di Xinjiang, amalan keagamaan dilihat sebagai sebahagian daripada kebudayaan-etnik yang membezakan Uighur dengan Han. China pula mempunyai visi untuk menyatukan etnik dan mahu menghapuskan segala halangan dalam mempercepatkan proses asimilasi.
Parti Komunis China mempercayai bahawa setiap rakyatnya mestilah setia kepada China terlebih dahulu manakala etnik atau agama di kedudukan kedua. Sebarang idea yang mengancam untuk menggulingkan pemerintahan ini sama ada pemisahan secara terang-terangan atau sekadar menguatkan etnik atau identiti agama, merupakan sasaran untuk menjatuhkan parti tersebut.
Dalam Perkara 36 dalam perlembagaan China,’’ “Tidak ada yang boleh menggunakan agama untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam, merosakkan kesihatan rakyat atau mengganggu sistem pendidikan di negeri ini.” Ditambah pula dengan amaran bahawa badan-badan agama dan urusan tidak tertakhluk kepada mana-mana dominasi asing. Bermakna segala perkara yang melibatkan agama tertakhluk di bawah pemerintahan China.
Manakala Perkara 1 mengatakan sistem sosialis adalah sistem asas Republik Rakyat China. Gangguan terhadap sistem sosialis oleh mana-mana organisasi atau individu adalah dilarang. Inilah hujah yang digunakan oleh parti ini dalam setiap ‘’tindakan keras’’ yang dilakukannya ke atas Muslim Uighur.
Kesimpulan
Muslim Uighur telah banyak menderita atas tindakan China yang menekan sehinggakan banyak rakyatnya yang berpindah ke luar negara seperti di Turki, Arab, Kanada, Amerika Syarikat dan lain-lain. Jika keadaan ini berterusan tanpa ada jalan penyelesaian, China akan menguasai keseluruhan Timur Turkistan, muslim Uighur akan berterusan menjadi pelarian dan Islam juga akan sentiasa terancam serta bakal terhapus dari bumi Timur Turkistan.

29 September 2015

Pemburuan suspek serangan Bangkok berakhir

Bilal Muhammad

Bilal Muhammad
BANGKOK 28 Sept. – Pemburuan suspek serangan pengeboman Kuil Erawan di tengah Bangkok awal bulan lepas, berakhir selepas seorang lelaki Uighur bernama Bilal Muhammad atau Adem Karadag mengaku melakukan letupan berkenaan.
Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Poompanmoung mengesahkan perkara tersebut dan mengaitkan insiden itu dengan kes penyeludupan manusia yang berjaya ditumpaskan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.
“Pemburuan suspek sudah selesai. Dalang disebalik kejadian serangan bom ini adalah kumpulan yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan manusia.
“Walaupun telah selesai, namun kita tidak menolak kemungkinan ada ramai lagi suspek yang terlibat dengan kegiatan terlarang.
Siasatan masih lagi diteruskan,” katanya hari ini.
Jelas beliau, pendakwaan juga akan dijalankan selepas suspek mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bersama seorang lagi lelaki Uighur, Yusufu Mieraili.
“Kedua-dua suspek mengaku tanpa paksaan selepas bukti dan saksi menyatakan mereka terlibat,” jelas Somyot.
Serangan pada 17 Ogos itu menyebabkan 20 orang maut dan 130 orang cedera.
Bilal dikenalpasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar kuil berkenaan.
Menurut laporan Channel News Asia, sejak serangan tersebut, polis Thailand telah menemuramah le­bih 200 saksi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemburuan-suspek-serangan-bangkok-berakhir-1.140951#sthash.X7v2uwrn.dpuf

27 September 2015

Sejarah dan siri penindasan Muslim Uighur yang perlu kita tahu

http://www.ismaweb.net/2015/09/sejarah-dan-siri-penindasan-muslim-uighur-yang-perlu-kita-tahu/

uighur
Sejarah bagaimana Muslim Uighur menjadi sebahagian daripada China
SEKALI pandang, perwatakannya tidak seperti etnik Han; etnik majoriti China yang bermata sepet apatah lagi bahasa pertuturannya yang lain daripada Mandarin. Itulah etnik Uighur yang rata-ratanya menggunakan bahasa Turki dalam pertuturan dan menulis dengan menggunakan huruf Arab.
Mereka tinggal di wilayah yang digelar ‘’ Timur Turkistan’’ dan dianggap sebagai ‘’hati’’ Asia kerana kedudukannya yang strategik di antara Barat dan Timur. Timur Turkistan bersempadan dengan 9 buah negara iaitu China, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan, Mongolia, Rusia, dan India.
Pada abad ke Sembilan, etnik Uighur telah menerima Islam semasa pemerintahan Raja Karahanidin dan pusat pemerintahan ketika itu ialah Kashgar yang kemudian telah menjadi pusat penyebaran Islam, kesenian dan kebudayaan Islam, lahir ratusan ulama serta penciptaan ribuan karya hebat.
Kegemilangan Khilafah Islam ini diteruskan oleh Kerajaan Seyyid atau Yarkent namun, jatuh apabila Empayar Manchu telah menawan Timur Turkistan pada 1759 dan dijajah sehingga tahun 1862. Setelah 42 peperangan telah berlaku, Empayar Manchu telah mengundurkan diri dan sekali lagi khilafah Islam tertegak dengan kerajaan baru; negara Yetteshehar pada tahun 1864.
Namun, ianya tidak kekal lama apabila Empayar Manchu mencerobohnya semula pada tahun 1876 dan setelah 8 kali peperangan berdarah tercetus, Timur Turkistan ditawan keseluruhannya dan ditukarkan namanya ke ‘’Xinjiang’’ yang bermaksud ‘’Wilayah Baru’’ pada 18 November 1884.
Selepas itu, peluang untuk khilafah Islam menyinar semula telah ditenggelamkan oleh Nasionalis China yang telah menjatuhkan Empayar Manchu pada tahun 1911 dam secara automatik menguasai keseluruhan wilayah yang ditakhluk oleh Empayar Manchu. Pada ketika itu, kawalan China ke atas Timur Turkistan agak longgar dan kesempatan ini telah digunakan oleh Muslim Uighur untuk bebas dari cengkaman China hingga tertubuhnya Republik Timur Turkistan (ETR) setelah dua kali penentangan berlaku pada tahun 1933 dan 1944.
China yang tidak berdiam diri, telah melancarkan pencerobohan tentera dan dalam masa yang sama Soviet Union telah melakukan tipu daya politik ke atas Timur Turkistan lalu,republik ini berakhir apabilaPeople’s Liberation Army (PLA) telah merusuh di Timur Turkistan pada tahun 1949 hingga tertubuhnya Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR).
Sejak itu, pelbagai tragedi hitam telah berlaku di Timur Turkistan dengan diikuti kempen-kempen yang kejam ke atas Muslim Uighur namun, semangat mereka tidak pernah luntur dan sentiasa mengingatkan generasi mereka akan perjuangan mereka dalam menentang kezaliman China.
Kini populasi Muslim Uighur telah melebihi 20 juta orang namun semakin tenggelam akibat imigran Han yang membanjiri wilayah tersebut dan meningkat saban tahun. Tindakan China ini boleh disamakan dengan penjajahan Israel ke atas Palestin dan kekejaman Burma ke atas Muslim Rohingya. Kisah penganiayaan Muslim Uighur bukanlah kisah baru kerana media telah lama mengikuti kisah mereka namun, disebabkan polisi China yang ketat ke atas media massanya, kisah mereka tidak banyak dipaparkan oleh mana-mana pihak.
Siri penindasan Muslim Uighur
Salah seorang etnik Uighur
Berikut merupakan antara usaha kerajaan China yang menindas Muslim Uighur di Xinjiang:
1) Pada bulan Ramadhan, setiap kakitangan, guru dan pelajar tidak dibenarkan untuk berpuasa dan menjalankan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan bulan suci ini.
2) Muslim Uighur tidak dibenarkan untuk memakai tudung, membela janggut, memakai lambang bulan sabit dan bintang di pakaian atau pengangkutan awam.
3) Di Kashgar, Xinjiang (sebuah kota purba di Jalan Sutera) pula China telah melancarkan kempen ‘’Beauty Project’’ iaitu mempromosi masyarakat Uighur untuk menonjolkan kecantikan mereka tetapi, sebenarnya mahu mereka meninggalkan suruhan agama – menutup aurat.
4) Kadang-kadang Muslim Uighur juga menghadapai kesukaran untuk mendapatkan passport terutama ketika ingin menunaikan haji.
5) Penghapusan kota purba Kashgar yang menyimpan banyak sejarah,kebudayaan dan kebanggaan etnik Uighur oleh China dengan memindahkan penduduknya ke bangunan baru serta berselindung di sebalik alasan langkah berjaga untuk menghadapi gempa bumi.
6) Penggunaan Bahasa Turki tidak dibenarkan di mana-mana universiti.
7) Kerajaan China yang menentukan imam, bahan ceramah dalam aktiviti keagamaan, tempat untuk diadakan segala aktiviti keagamaan dan versi Al-Quran yang digunakan.
8) Di sekolah, para pelajar tidak dibenarkan menyambut sebarang perayaan agama, memakai pakaian yang melambangkan agama dan belajar pendidikan agama.
Nurul Fitrah Abdullah
Sumber: Uyghur CongressThe Diplomat [1][2]HRW

23 September 2015

5 pegawai polis maut ditikam pemisah di Xinjiang


BEIJING: Sekurang-kurangnya lima pegawai polis maut akibat ditikam dengan pisau oleh anggota kumpulan pemisah di lombong arang batu di wilayah bergolak, Xinjiang, demikian menurut siaran radio Free Asia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Kejadian dilaporkan berlaku Jumaat lalu di Lombong Sogan di Aksu, wilayah barat China itu dengan memetik sumber polis.
Turut dilaporkan berpuluh lagi cedera dalam serangan itu.
"Serangan dipercayai dilakukan selepas perancangan yang lama dan membabitkan ramai orang oleh anggota pemisah terhadap pegawai polis dan pemilik lombong arang batu itu," kata seorang pegawai kerajaan yang dipetik Radio Free Asia.
Beberapa panggilan kepada pegawai kerajaan Xinjiang dan jabatan keselamatan tidak berjawab.
Pada Jun lalu, Radio Free Asia melaporkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam serangan yang dilakukan etnik Uighur ke atas polis menggunakan pisau dan bom di sebuah pusat pemeriksaan trafik di Laluan Silk berdekatan Kashgar. - Reuters



SALAH satu lombong arang batu di wilayah, Xinjiang, Beijing. - - Foto ihsan www.ibtimes.co.uk

Bom Bangkok: Empat lelaki Uighur ditahan

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Empat lelaki dipercayai etnik Uighur ditahan bagi membantu siasatan insiden pengeboman di Bangkok bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, semua suspek ditahan di ibu negara dan Kelantan, Sabtu lalu.

"Kami (polis) sedang jalankan siasatan ke atas mereka, mengenai pembabitan mereka dan peranan mereka. Setakat ini tiada pengakuan direkodkan.

"Dokumen pengenalan diri mereka turut disiasat sama ada ia palsu atau sebaliknya," katanya dalam sidang media di majlis pemakaian pangkat pegawai kanan polis, di Bukit Aman, hari ini.

Noor Rashid berkata, dengan penahanan empat lelaki terbabit menjadikan lapan suspek yang ditahan setakat ini berhubung kejadian pengeboman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 11:44 AM

NOOR Rashid. FOTO Yazit Razali
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79598#sthash.K6RDfGzm.dpuf

30 August 2015

Pihak Berkuasa Thai Fail Pendakwaan Ke Atas Suspek Bom


Diterbitkan: Ahad, 30 Ogos 2015 4:57 PM
Suspek yang dipercayai bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas dalam kes pengeboman di Thailand pada 17 Ogos lalu.

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand telah memfailkan pendakwaan ke atas seorang lelaki asing yang menjadi suspek bersubahat dengan kes pengeboman di tengah-tengah bandar raya ini yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia kurang lebih dua minggu lalu.
BBC melaporkan, lelaki itu didakwa atas kesalahan memiliki senjata haram dan bersubahat melakukan serangan maut ke atas orang awam.
Bagaimanapun suspek berkenaan bukanlah seorang lagi suspek yang wajahnya dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) meninggalkan sebuah beg yang dipercayai mengandungi bahan letupan berhampiran Tokong Keramat Erawan pada 17 Ogos lalu. 
Suspek utama kes ini masih belum ditahan.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Nong Jok di pinggir kota ini pada Sabtu.
Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Udomdej Sitabutr berkata, suspek berkenaan enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kes tersebut.
"Kami perlu melakukan proses siasatan lanjutan kerana suspek itu enggan bekerjasama dengan pasukan penyiasat sama sekali," katanya sepertimana yang dipetik oleh agensi berita AFP.
Kewarganegaraan lelaki itu masih belum disahkan tetapi media-media massa tempatan telah melaporkannya sebagai seorang berbangsa Turki.
Ketika dia ditahan, pihak polis telah menemui sejumlah senjata api dan juga bahan letupan di samping beberap keping pasport palsu Turki.
Ketua Polis Thailand, Somyot Pumpanmuang enggan mengaitkan suspek berkenaan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
"Dia adalah seorang warga asing, tetapi buat masa ini kita tidak mengaitkannya dengan mana-mana organisasi pengganas antarabangsa. Kes ini lebih menjurus kepada isu peribadi," kata Somyot.